Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, sehubungan itu kerajaan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya di mana syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti.

Menurut kenyataan itu lagi, ia membabitkan empat lebuh raya iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

“Dengan kejayaan pengambilalihan tersebut, kerajaan bercadang untuk menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada.

“Sebagai ganti ‘congestion charge’ (caj kesesakan) akan diperkenalkan di mana pengguna lebuh raya akan hanya dikenakan bayaran itu yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Ujar kenyataan sama lagi, kadar tol dihapuskan sama sekali pada waktu ‘off-peak’ (bukan waktu puncak) antara pukul 11 malam dan 5 pagi dimana penggunaan lebuh raya adalah percuma.

“Pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa,” ujar kenyataan itu.

Pada masa sama, kenyataan menambah, hasil kutipan ‘congestion charge’ akan digunapakai untuk menampung kos operasi serta penyelenggaraan lebuh raya serta bayaran pinjaman.

“Lebihan kutipan akan disalurkan kepada satu dana pengangkutan awam, diguna untuk meningkat kualiti pengangkutan awam seluruh negara.

“Lain-lain perincian berkenaan cadangan ini akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan pada masa yang sesuai,” ujar kenyataan sama lagi.-UTUSAN ONLINE