Di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) rumah mampu milik di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dijual di bawah harga RM300,000 malah banyak di antaranya berharga di bawah RM198,000.

Berikutan itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Razlan Rafii mempersoalkan adakah Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad kini sudah menyebelahi pemaju yang mahu melaksanakan pembangunan rumah mampu milik dengan harga bermula RM300,000.

“Setelah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dihapuskan dan diperkenalkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), sepatutnya Khalid boleh melaksanakan pembangunan rumah mampu milik dengan harga lebih murah,

“Kerakusan memerah darah rakyat golongan berpendapatan rendah (B40) sepatutnya tidak terjadi apabila kerajaan PH sering kali melaungkan mahu mengurangkan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khalid semalam berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan akan melancarkan projek Residensi Wilayah menggantikan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) dengan sasaran pembinaan 10,000 unit rumah dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, berbeza dengan Rumawip, Residensi Wilayah bakal menyaksikan pembinaan unit rumah yang lebih luas dan kualiti yang dipertingkat untuk kelesesaan penduduk, namun masih pada harga mampu milik iaitu RM300,000 per unit. - UTUSAN ONLINE