Penasihat Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Kua Kia Soong berkata, ahli politik PH serta penyokong mereka perlu berhenti merengek seperti ‘budak-budak’ sebaliknya memberi tumpuan bukan sahaja kepada usaha mempertahankan kebebasan bersuara, malah mempertingkatkannya.

Tambahnya lagi, tiada sebarang sebab juga mengapa masyarakat di negara ini tidak boleh mengkritik ahli politik.

“Kalau orang boleh komen mengenai pakaian Rosmah (Mansor), mengapa mereka tidak boleh komen mengenai anak Lim (Guan Eng)?

“Memang sesiapa juga berhak membuat laporan polis, tetapi saya tidak nampak kenapa polis perlu bertindak ke atas laporan begitu.” katanya seperti dilaporkan portal Free Malaysia Today hari ini.

Kia Soong berkata demikian bagi mengulas tindakan terhadap bekas ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang disiasat polis selepas membuat hantaran di akaun Facebook miliknya yang  mempersoalkan anak Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kerana memakai jaket berjenama Givenchy  yang bernilai RM4,700.

Selain itu, laporan polis turut dibuat terhadap aktivis, Zainnal Ajamain ekoran hantaran di akaun Facebook miliknya yang membandingkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dengan bekas ketua menteri negeri itu, Tan Sri Musa Aman.

Sementara itu, Kia Soong berpandangan, tiada masalah untuk Tee Beng mempersoalkan pakaian ahli politik atau anak mereka dan kritikan Zainnal terhadap Shafie juga merupakan komen yang ‘munasabah’.

Dalam pada itu, Penasihat Lawyers for Liberty, N.Surendran berkata, tindakan menjadikan pengucapan satu perbuatan jenayah merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima dan bagi kedua-dua kes tersebut, saman malu boleh difailkan oleh mereka yang berasa dimalukan.

“Pemimpin PH dan ahli politik tidak boleh mengharapkan perlindungan istimewa daripada polis setiap kali mereka dimalukan.

“Saya terperanjat dengan (sikap) pemimpin ini yang membisu sewaktu polis menyiasat orang yang mengkritik mereka. Menteri Dalam Negeri mesti mengarahkan polis supaya berhenti menggunakan undang-undang jenayah terhadap penentang dan pengkritik pemimpin PH,” katanya. - UTUSAN ONLINE