Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pelan tersebut selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan setiap rakyat negeri ini dapat menikmati akses Internet yang pantas serta sebagai persediaan bagi perkhidmatan 5G.

“Pelan ini berjaya dirumuskan selepas mesyuarat diadakan hari ini dengan tujuh pengendali telco antaranya Digi, Celcom, Maxis, Telekom dan lain-lain.

“Mesyuarat yang menghimpunkan semua ketua syarikat telekomunikasi ini juga adalah pertama kali diadakan dan kita teruja untuk bekerjasama dengan semua pihak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al Ishsal Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Digi, Albern Murty; CEO Maxis, Gokhan Ogut; CEO Celcom, Idham Nawawi; dan Ketua Pegawai Teknikal U Mobile, Woon Ooi Yen.

Menurut Kon Yeow Pelan Induk Kesalinghubungan Pulau Pinang itu akan dikawal selia oleh kerajaan negeri dan SKMM serta dianggotai oleh tujuh syarikat telco antaranya Digi, Maxis, Celcom serta Telekom. - UTUSAN ONLINE