Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, walau bagaimanapun perkara itu tertakluk kepada keputusan kerajaan Pusat yang sebelum ini telah pun meluluskan sejumlah peruntukan bagi tujuan tersebut dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Beliau berkata, setakat ini terdapat beberapa pihak swasta yang berminat untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membangunkan projek-projek berkenaan yang pada masa ini telah ditangguhkan sementara oleh kerajaan Pusat.

“Kerajaan negeri sedang melihat kaedah terbaik untuk memastikan perancangan induk yang dirancang demi pembangunan kepada rakyat Perlis, tidak terjejas.

“Kita tidak boleh bergantung (peruntukan) kepada kerajaan semata-mata sebaliknya perlulah kreatif mencari alternatif lain,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan negeri di Dewan Warisan, di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan dan barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Pada majlis tersebut, Azlan turut melancarkan Kempen Mengibar Jalur Gemilang.

Mengulas lanjut Azlan, pihak-pihak swasta yang berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri membangunkan projek-projek berimpak tinggi di sini pada masa ini, sedang melihat model perniagaan yang boleh dijalankan.

“Kerajaan negeri akan membuat sedikit pengubahsuaian kepada projek-projek ini bagi memastikan kedua-dua pihak (kerajaan negeri dan swasta) mendapat keuntungan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azlan memberitahu, pihak kerajaan negeri juga sedang melaksanakan beberapa langkah berjimat cermat yang antaranya tidak lagi menyumbang lembu-lembu untuk tujuan ibadah korban pada tahun ini.

“Setiap tahun, kos untuk lembu-lembu ini meningkat. Pada tahun lepas RM900,000 dan pada tahun ini, jika dilaksanakan berjumlah lebih RM1 juta.

“Maka sebab itu, kerajaan negeri mengambil keputusan tidak lagi menyumbang lembu-lembu, sebaliknya akan menggunakan wang tersebut untuk tujuan pembangunan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, langkah penjimatan berkenaan tidak termasuk pemotongan gaji kakitangan awam di negeri ini kerana masih di bawah kemampuan kerajaan negeri. - UTUSAN ONLINE