Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, beliau perlu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan kenyataan Perdana Menteri berkaitan projek tersebut dan belum mempunyai cadangan yang akan dibawa pada mesyuarat pertama jawatakuasa yang ditubuhkan bagi meneliti dan menyemak semula projek mega berkenaan.

“Kita kena selesaikan masalah yang ada...kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, kita nak ulas balik, kita nak terangkan dasar-dasar kita di Johor untuk kefahaman kerana mungkin beliau sendiri tidak faham.

“Perlu untuk kita terangkan kepada beliau dengan lebih jelas,” katanya selepas menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan laluan persimpangan jalan raya di Gerbang Nusajaya, di sini sebentar tadi. 

Yang turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib dan Pengarah Eksekutif Mulpha International, Eric Lee.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan warga asing untuk membeli hartanah di negeri ini, namun mereka perlu memenuhi syarat yang sudah ditetapkan, antaranya hanya boleh membeli rumah berharga RM1 juta ke atas.

Perkara tersebut sudah lama dilaksanakan dan sememangnya ramai warga asing yang membeli hartanah di sini termasuk dari Singapura serta tidak hanya tertumpu kepada negara tertentu sahaja. - UTUSAN ONLINE