Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, negara mempunyai ramai tokoh berwibawa yang boleh memberi buah fikiran menyelesaikan isu sosial sama seperti tindakan kerajaan melantik lima pakar ekonomi untuk menasihati kerajaan dalam sudut kewangan.

“Saya cadangkan bahawa kita tidak hanya tekankan aspek ekonomi sahaja tetapi kita perlu juga lihat aspek spiritual dan pembinaan insan.

“Isu seperti dadah misalnya sangat berkait dengan nilai spiritual, kalau kita tidak bina nilai spiritual dan hanya mahu membina sudut fizikal maka kita akan berdepan dengan kegagalan.

“Ia akan menjadi lipstik dan tidak membina jatidiri serta akar umbi rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Kesyukuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit di Binjai di sini hari ini.

Semalam Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan pembentukan Majlis Penasihat Kerajaan yang terdiri daripada pakar-pakar untuk menasihati kerajaan dalam isu-isu ekonomi dan kewangan.

Majlis penasihat itu diketuai bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin manakala empat ahli lain adalah bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican; tokoh korporat, Tan Sri Robert Kuok dan ahli ekonomi terkemuka negara, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram. UTUSAN ONLINE