Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan melulu pada saat pembentukan kabinet pun masih belum selesai akan menyebabkan negara dipandang negatif pihak luar.

“Pas sangat menghormati tindakan kerajaan tetapi perlu diwujudkan pentadbiran yang kemas dan teratur dahulu daripada tergopoh-gapah buat siasatan dan tangkapan.

“Tindakan nampak gah tetapi sehingga kini kabinet belum wujud dengan teratur, saya fikir ia tidak begitu baik dari sudut persepsi negara luar kepada kita, kabinet belum terbentuk tiba-tiba sudah mula buat tangkapan, pecat orang itu dan ini, saya fikir kita tidak perlu gopoh,” katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam Majlis Kesyukuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit di Binjai di sini hari ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa sebarang siasatan yang dijalankan tidak boleh menumpukan kepada kes-kes tertentu atau sekadar mahu membalas dendam terhadap suatu pihak sahaja.

“Kita mesti berlaku adil kepada semua, saya fikir bukan kes (Datuk Seri) Najib sahaja yang perlu disiasat, zamanTun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri selama lebih 20 tahun pun banyak kes perlu disiasat yang turut melibatkan kerugian berbilion ringgit.

“Pas berpegang kepada konsep seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah, kita berharap sebarang siasatan dapat membersihkan nama-nama orang yang dituduh kalau mereka selama ini difitnah,” katanya. - UTUSAN ONLINE