Boleh dikatakan hampir setiap hari, ada sahaja status atau kenyataan balas antara kedua-dua pemimpin politik itu, sehinggakan kadang kala Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga `masuk gelanggang’ membela anaknya.

Malam ini, Najib menzahirkan rasa kurang senang dengan masalah ekonomi yang didakwa semakin teruk selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara.

Ahli Parlimen Pekan itu percaya, masalah tersebut berpunca daripada seorang individu iaitu Guan Eng yang telah mengambil langkah memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST), menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Beliau menyifatkan langkah itu sebagai tidak memberi manfaat langsung kepada kerajaan atau pembeli sehingga ke hari ini.

“Kerajaan dapat apa? Rakyat dapat apa? Harga barang kian meningkat.

“Kerajaan kehilangan berpuluh-puluh bilion hasil kutipan akibat Guan Eng. Hasil kutipan ini boleh diberikan kepada B40 (isi rumah berpendapatan rendah), diberikan kepada penjawat awam walau RM80 sahaja,” kata Najib menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya.

Sehubungan itu, Najib meminta Guan Eng supaya tidak terus bersandiwara bahawa Bajet 2019 akan menjadi belanjawan yang sukar dan sebuah bajet korban.

Hal demikian ini kerana, jelas Najib, masalah yang dihadapi negara ketika ini adalah kerana Guan Eng dan kerajaan PH yang lebih berminat serta memberi keutamaan kepada mempolitikkan pengurusan ekonomi negara.

“Kerajaan hari ini tidak peka dan simpati terhadap rakyat yang memerlukan pembelaan termasuk keperluan penjawat awam,” sindir beliau. - UTUSAN ONLINE