Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat di peringkat Pusat tentang cara, kaedah dan bentuk yang telah dilontarkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai cadangan tersebut.

“Secara umumnya kita melihat apa jua inisiatif dan usaha ke arah membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan inklusif adalah suatu perkara yang akan memberi kepentingan kepada rakyat.

“Pada masa ini tidak ada sebarang keputusan lagi dan tiada perbincangan yang mendalam di peringkat kepemimpinan Pusat. Kita masih menunggu maklumat itu sebelum sebarang keputusan boleh dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program ‘MB Mari Kampung Kita’ sempena Siri Jelajah Bajet 2019 Daerah Kuala Nerus di Stadium Tertutup, Gong Badak di sini hari ini.

Yang hadir sama, isterinya, Tuan Faizah Tuan Abd. Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Pegawai Kewangan negeri, Mohd. Zahari Md. Azahar dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri.

Baru-baru ini Ahmad Samsuri ketika ditanya Utusan Malaysia menyerahkan kepada kepemimpinan tertinggi Pas untuk membuat keputusan berhubung hasrat UMNO itu.

Katanya, beliau sangat terbuka dengan sebarang keputusan yang dimuktamadkan kepemimpinan di peringkat Pusat dan akan melaksanakan apa jua seperti diarahkan. - UTUSAN ONLINE