Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun tewas tetapi Pas percaya keadaan itu secara tidak langsung mewujudkan isyarat yang sangat positif buat parti di sebalik kekangan yang dihadapi.

“Semua pihak sudah tahu keputusannya dan ia tidak mengejutkan. Itu adalah proses demokrasi dan sesiapa yang dapat undi terbanyak beliau lah yang menang.

“Dalam keadaan kita berdepan PRK yang semua jentera Pakatan Harapan (PH) turun padang termasuk dalam kalangan menteri namun undi yang diterima Pas masih tetap utuh,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Sultan Mizan di Taman Ekuestrian Antarabangsa Terengganu (TIEP) Lembah Bidong, di sini hari ini.

Semalam, calon Pas bagi PRK Parlimen Port Dickson, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar tewas kepada calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan majoriti 23,560.

Jumlah majoriti yang diperoleh Anwar yang diuar-uarkan sebagai bakal Perdana Menteri kelapan adalah lebih besar berbanding 17,710 undi yang dicatatkan bekas Ahli Parlimen berkenaan, Datuk Danyal Balagopal Abdullah dalam PRU-14.

Lima calon lain yang turut bertanding, termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad memperoleh 4,230 undi manakala bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan mendapat 82 undi di samping Stevie Chan Keng Leong (337 undi), Kan Chee Yuen (154 undi) dan Lau Seck Yan (214 undi).

Dalam PRU-14, Pas meraih 6,594 undi menerusi calonnya, Mahfuz Roslan manakala Danyal 36,225 undi dan Datuk V.Mogan (Barisan Nasional) 18,515 undi. - UTUSAN ONLINE