Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, perbincangan itu turut melibatkan dirinya.

"Saya tidak akan sebut sesuatu yang melibatkan Anwar dan Presiden parti tanpa persetujuan mereka.

"Ada sebab perkara ini dibuat dan memang dari segi operasi dan kempen parti, kami (mereka yang berbincang dengan Anwar) kami lebih rapat dan laju," katanya ketika ditemui pemberita pada program Jelajah Reformasi 20 tahun di Kompleks Dagangan Indera Mahkota di sini malam tadi.

Semalam, Naib Presiden PKR, Tian Chua mendakwa, keputusan untuk mengosongkan kerusi Parlimen bagi memberi laluan kepada Anwar tidak pernah dibincangkan bersama pimpinan tertinggi parti itu.

Tian Chua berkata, tiada sesiapa pun dalam kalangan pimpinan parti yang mengetahui mengenai perkara itu, namun secara tiba-tiba ia diumumkan calon Timbalan Presiden PKR itu.

Rafizi berkata, adalah menjadi hak Tian Chua untuk membuat kenyataan sedemikian dan perkara itu sekadar pandangannya.

"Mungkin Tian Chua rasa janggal kerana dia tidak terlibat dalam proses itu. Apa yang diumumkan itu antara saya, Datuk Seri Anwar dan pimpinan terlibat," katanya.

Berhubung kerusi yang akan dikosongkan itu, Rafizi meminta semua pihak bersabar kerana ia akan diumumkan pada minggu ini.

"Kena tunggu pengumuman, tidak lama dah. Kalau boleh cakap, saya memang mahu cakap tetapi saya tidak boleh," ujarnya. - UTUSAN ONLINE.