Exco Pemuda UMNO, Muhammad Faiz Hashim berkata, kenyataan itu seolah-olah menyerlahkan sikap dan perlakuan sebenar pimpinan DAP yang benar-benar bersifat perkauman, cauvanis dan ekstrem.

Sikap sedemikian katanya, tidak sesuai dengan sosio budaya masyarakat negara ini yang sederhana, toleransi dan menghormati antara satu sama lain demi mewujudkan suasana negara yang aman serta harmoni.

"Apa yang berlaku ketika ini adalah sangat tidak sihat kepada negara dan pendominasian kuasa oleh DAP ini akan menyerlahkan lagi sikap sebenar mereka yang benar-benar perkauman.

"Justeru, masyarakat Cina seharusnya membuka mata dan menilai sendiri kesan yang akan berlaku sekiranya pemerintahan secara sebegini diteruskan akan mewujudkan situasi yang cukup membimbangkan kepada masa depan dan keharmonian negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, sebuah portal memetik kenyataan Guan Eng yang menyifatkan kerjasama di antara UMNO dan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu.

Walau bagaimanapun, Guan Eng selepas itu telah mengubah kenyataannya dan frasa ‘pengisytiharan perang’ di tukar kepada ‘menyasarkan’.

Muhammad Faiz berkata, masyarakat Cina seharusnya kembali memberi keyakinan penuh kepada MCA dan Gerakan yang lebih bersifat sederhana serta menjaga penuh tatasusila dalam keadaban menyantuni kepentingan kepelbagaian kaum di negara ini sebaiknya.

"Kesederhanaan yang ditunjukkan oleh MCA dan Gerakan selama inilah yang merupakan resepi keamanan, keharmonian dalam mewujudkan dan mengeratkan perpaduan berbilang kaum di negara kita ini," katanya. - UTUSAN ONLINE