Mujahid dalam rakaman sebuah video menegaskan tindakan Asyraf Wajdi melakukan dakwaan sedemikian hanyalah sekadar usaha untuk menggambarkan kononnya beliau tidak mempedulikan tentang isu-isu penghinaan kepada Islam, Melayu dan raja-raja Melayu adalah tidak betul.

Tegas Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, hal ini kerana beliau telah menyatakan dengan jelas sejak mula menjawat jawatan itu bahawa sesiapa yang melakukan jenayah khususnya berkaitan penghinaan kepada Islam dan raja-raja Melayu perlu diambil tindakan sewajarnya.

“Asyraf Wajdi mengatakan bahawa kononnya apabila DAP difitnah, maka saya mengambil tindakan dengan segera. Ini kenyataan yang memutar belitkan fakta. Kenyataannya itu dengan niat yang cukup jahat.

“Apabila saya nyatakan sesiapa yang timbulkan fitnah terhadap Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) seperti menyatakan DAP telah menguasai Tabung Haji, jadi saya akan saman. Namun perkara itu bukan kerana DAP tetapi tuduhan berkenaan boleh menjejaskan institusi yang mempunyai kepentingan umat Islam dan 9.2 juta pendepositnya,” katanya.

Asyraf Wajdi selepas menyertai Program Ziarah Kasih di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Beranang hari ini mempersoalkan sikap Mujahid yang hanya berdiam diri apabila agama Islam diperlekehkan sesetengah pihak di negara ini.

Kata Asyraf Wajdi, sebagai seorang menteri yang menjaga kepentingan agama Islam, Mujahid seharusnya berada di barisan hadapan tetapi rakyat semakin resah kerana isu tersebut seakan-akan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Semalam, Mujahid memberitahu bahawa beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman terhadap individu yang cuba menabur fitnah kepada dirinya dan Tabung Haji.

Mujahid turut memberi amaran tegas kepada Asyraf Wajdi supaya tidak membuat tuduhan, dakwaan dan fitnah yang boleh menjejaskan Islam, Melayu dan institusinya.

“Saya beri amaran kalau mahu bermain politik, biarlah politik yang berhemah. Politik yang berfakta bukannya tuduhan liar atau fitnah yang menjejaskan Islam, Melayu dan institusinya,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE