Meskipun akur dengan perundangan, namun beliau hairan apabila ada dalam kalangan individu seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy; Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy tidak ditangkap.

Sedangkan kata beliau, tindakan mereka itu secara terang-terangan menghina Islam dan Melayu, malah terdapat ribuan laporan polis telah dibuat terhadap ketiga-tiganya.

“(Maka) Saya meminta keadilan buat diri kerana yakin tiada siapa pun yang kebal terhadap undang-undang termasuk menteri,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Muhammad Zamri seterusnya berdoa semoga beliau tabah melalui ujian dan Allah SWT mengampunkan seluruh dosanya, ibu bapa dan keluarga serta mereka yang sedang memperjuangkan syiar Islam.

“Semoga dengan ujian ini juga, Allah SWT membuka luas pintu hidayah-Nya buat semua rakan bukan Islam yang sedang mencari jalan kebenaran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak sedikit pun menyimpan perasaan marah atau ingin membalas dendam terhadap pihak yang membuat laporan polis ke atasnya, sebaliknya menghargai mereka kerana telah mengikut saluran betul.

“Mungkin ini dilakukan demi memuaskan selera hati beberapa pihak yang tidak mesra Islam dan saya redakan perkara tersebut,” katanya.

Ahad lalu, Muhammad Zamri yang juga pembantu pendakwah Islam terkenal, Dr. Zakir Naik ditahan polis dan direman selama empat hari berikutan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya kerana didakwa menghina agama Hindu.

Beliau didakwa membuat kenyataan yang berunsur penghinaan terhadap agama Hindu dalam satu video tular di laman sosial.

Berikutan itu, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin tampil membela rakannya itu selain menyifatkan Islam di bawah kerajaan PH hari ini dilihat tidak selamat. - UTUSAN ONLINE