Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Mohd. Rafizi Ramli yang bersaing bagi jawatan itu telah diingatkan supaya mengetepikan soal per­saingan mereka dan mengutamakan PRK.

“Kempen tidak terjejas dan mereka semua datang. Mohamed Azmin Ali dan Mohd. Rafizi pun ada di sini. Saya sudah ingatkan mereka semua untuk datang berkempen.

“Mereka datang sebagai satu keluarga dan bekerja bersama-sama dalam mengadakan c­eramah dan program, tidak timbul isu kempen kita terjejas,” katanya kepada pemberita selepas Program Santai Pagi di Taman Tanjung Gemok di sini hari ini.

Pemilihan PKR yang bermula sejak 22 September lalu menyaksikan persaingan sengit Moha­med Azmin yang juga penyandang jawatan dengan Mohd. Rafizi bagi jawatan Timbalan Presiden.

Anwar yang merupakan Ketua Umum PKR pula menang tanpa bertanding jawatan Presiden yang sebelum ini dipegang Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, beliau menghormati teguran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Bersih berhubung dakwaan beliau me­nyalahgunakan aset kerajaan semasa berkempen.

Katanya, beliau akan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan, namun meminta SPR memberi kelonggaran kepada calon dalam keadaan tertentu bagi memudahkan mereka berkempen.

“Contohnya semasa saya menaiki kereta Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu untuk berbincang kira-kira 10 minit baru-baru ini yang ditegur sebagai salah guna.

“Bukannya saya pergi berkempen sebaliknya kerana protokol keselamatan tentera dia tidak boleh naik kereta saya. Saya fikir SPR perlu pertimbangkanlah.

“Bagi saya yang penting tidak ada menteri umumkan projek semasa PRK ini berbanding kerajaan sebelum ini. Itu salah guna paling besar tetapi tidak berlaku kali ini,” katanya.

Anwar berkata, beliau dan pemimpin PH juga menyambut baik arahan SPR supaya menteri Kabinet dan ahli politik yang memegang jawatan dalam kerajaan tidak berkempen dalam waktu bekerja.