Apa yang ketara, Pakatan Harapan (PH) memenangi perang poster apabila lebih awal dan banyak memasang poster serta gambar-gambar calonnya, M. Manogaran, manakala Barisan Nasional (BN) agak terlewat daripada aspek tersebut.

Perkara itu ketara apabila ketika ini belum pun kelihatan poster wajah calon BN, Ramli Mohd. Nor di sekitar pekan-pekan di Cameron Highlands sebaliknya yang ada hanyalah poster-poster parti.

Berbeza dengan lawannya, wajah Manogaran boleh dilihat di mana-mana kawasan di Cameron Highlands.

Dalam hal ini, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengakui BN kekurangan dana sehingga tidak mampu berbelanja besar dalam kempen mereka.

Beliau juga memaklumkan, ketika melalui jalan dari Lipis, Sungai Koyan hingga ke Tanah Rata untuk membantu kempen calon BN semalam, tidak ada satu pun poster BN yang kelihatan.

"Tetapi bunting dan papan iklan yang dipasang oleh PH saya rasa kosnya pun dah melebihi perbelanjaan pilihan raya. Itu ketara, banyak sekali yang mereka belanjakan,” katanya.

Selain itu, Annuar juga mendakwa kemudahan-kemudahan kerajaan turut digunakan dalam kempen PH.

"Saya ada bertembung dengan kereta-kereta rasmi menteri dan timbalan menteri yang datang berkempen. Begitulah apabila sudah menjadi kerajaan," katanya.

Berdasarkan reaksi Annuar itu, PH digambarkan ber­belanja mewah untuk kempen PRK kali ini, berbanding BN yang kekurangan dana.

Namun persoalannya sama ada kempen mewah PH mampu menawan hati pengundi untuk memilih calon mereka, atau pun kempen rumah ke rumah, bercakap hati ke hati yang digerakkan BN lebih terkesan kepada pengundi?