Sehubungan itu, kemelut pelantikan jawatan nombor satu negeri tersebut yang berlarutan sejak hampir sebulan lamanya, kini berakhir.

Ketika mendedahkan perkara itu, ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad berkata, kesemua ADUN BN berkenaan telah membuat keputusan bersama untuk menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin dalam pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

Katanya, keputusan itu yang sudah pun dibuat sebelum mereka diterima menghadap baginda di Istana Arau dekat sini kelmarin, adalah bagi menyelesaikan segera isu berkenaan demi kebaikan rakyat.

“Kami tidak mahu kemelut ini berpanjangan dan supaya sebuah kerajaan negeri yang sempurna (pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) dapat dibentuk segera. Kita jangka (pelantikan) boleh dilakukan pada minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri Sempena Ramadan Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer di Dewan 2020, di sini hari ini.

Majlis penyampaian itu disempurnakan oleh Azlan yang juga ADUN Bintong. Turut hadir ADUN Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya.

Dalam pada itu, Azlan ketika diminta mengulas isu tersebut hanya tersenyum dan menyatakan ringkas ; “Semuanya positif”.

Mengulas lanjut, Asmaiza memberitahu, majlis sembah menghadap kesemua ADUN BN tersebut secara serentak ke atas Tuanku Syed Sirajuddin, berlangsung dalam suasana harmoni.

“Alhamdulillah tuanku (Syed Sirajuddin) perkenan untuk berjumpa dan pada masa itu, kami (ADUN-ADUN) telah menyatakan menjunjung titah tuanku, akur dan taat dalam pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar,” jelasnya.

Tambah Asmaiza, walaupun sembah menghadap itu tanpa kehadiran Datuk Ismail Kassim, tetapi ADUN Tambun Tulang tersebut menyatakan sokongan serupa dan bersama kumpulan mereka.

Ditanya sama ada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim mengetahui berhubung keputusan yang dibuat oleh kesemua ADUN tersebut, Asmaiza memberitahu, perkara berkenaan sudah dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Arau itu. - UTUSAN ONLINE