MOHD. FARED MOHD. KHALED
MOHD. FARED MOHD. KHALED 

UTUSAN: Apakah Perhimpunan Agung UMNO 2018 menyaksikan parti benar-benar mengambil iktibar kekalahan pada PRU-14 lalu?

MOHD. FARED: Nampak perubahan. Walaupun kalah, orang UMNO tetap datang bagi sokongan pada perhimpunan, maknanya akar umbi parti kuat. Alhamdulillah kekalahan ini beri kita banyak kesedaran.

UTUSAN: Dengan latar belakang profesional selaku peguam, apakah ada tawaran untuk lompat ke parti lawan yang giat memancing sokongan sekarang?

MOHD. FARED: Alhamdulillah tidak minat. Orang UMNO harus terus kekal sebagai orang UMNO. Kalau ada ahli yang nak ke seberang, itu pilihan mereka, kami hormat.

UTUSAN: Kenapa Pemuda gagal menarik sokongan anak muda? Kenapa nampak lemah?

MOHD. FARED: Kekurangan sokongan orang muda adalah bersifat massa. Tetapi semata-mata menyalahkan Pemuda janganlah. Kelemahan orang lama yang lebih mahir dalam gerak kerja politik, mereka juga antara penyumbang kepada kegagalan kita menerangkan perkara yang separa benar kepada orang muda.

UTUSAN: Apa perancangan Pergerakan Pemuda UMNO Johor untuk kukuhkan semula sokongan di negeri yang sebelum ini kubu kuat parti?

MOHD. FARED: Pertama kena sedar diri, itu asas, kalau masih mendabik dada, mendongak langit, itu silap besar. Pemuda Johor telah mula kembali kepada roh, kembali kepada asas sebelum Presiden dan Ketua Pemuda UMNO sebut. Ini memudahkan proses bangkit semula di Johor.

UTUSAN: Setuju dengan idea kerajaan perpaduan, ‘government in waiting’ yang sering disebut kebelakangan ini?

MOHD. FARED: Tidak perlu. Idea ‘government in waiting’ ini akan memberi harapan keterlaluan, hanya memburukkan proses rejuvenasi, seolah-olah kita tidak sedar diri, mengkhayalkan. Kita biar sedar diri, perbetulkan apa yang sepatutnya. - UTUSAN ONLINE