Kelulusan pendaftaran GPS diumumkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sewaktu menggulung perbahasan Belanjawan 2019 peringkat dasar untuk kementeriannya di Dewan Rakyat petang ini.

Muhyiddin memaklumkan bahawa pendaftaran GPS telah pun diluluskan dan surat daripada Pendaftar Pertubuhan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, ujar Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof, GPS mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas pertimbangan dan kelulusan daripada pihak Pendaftar Pertubuhan dan juga Menteri Dalam Negeri.

“Ini (kelulusan pendaftaran) sekali gus merupakan satu pengiktirafan kepada perjuangan rakyat Sarawak bagi mempertahankan hak Sarawak dalam Malaysia” katanya dalam kenyataan di sini petang ini.

Pada 12 Jun lalu, empat parti dari Sarawak mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan membentuk GPS.

Empat parti terbabit ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan, GPS akan bekerjasama de­ngan kerajaan Persekutuan atas dasar kepentingan nasional dan hak negeri serta kepentingan berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Persekutuan Malaysia.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan PBB berkata, penubuhan GPS membolehkan Sarawak bergerak di atas landasan politik baharu, melangkah ke hadapan dalam menghadapi cabaran sejajar dengan perubahan aspirasi, keperluan dan kehendak rakyat Sarawak yang memiliki berbagai kaum, budaya serta agama.

“GPS akan melindungi kepentingan rakyat Sarawak tanpa mengambil kira kaum secara inklusif.

“Parti gabungan baharu ini akan membolehkan Sarawak memberi lebih tumpuan tentang kepentingan dan hak Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya. – UTUSAN ONLINE