Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan seramai 31,749 pengundi berdaftar di Parlimen Cameron Highlands untuk memilih empat calon bertanding iaitu Ramli Mohd. Nor (Barisan Nasional), M. Manogaran (Pakatan Harapan) serta dua calon Bebas iaitu Wong See Yee dan Sallehudinn Ab. Talib.

Daripada jumlah itu, sebanyak 110 kertas undi pos telah dikeluarkan kepada pengundi yang layak me­ngundi secara pos, sekali gus menjadikan mereka yang layak mengundi biasa adalah seramai 31,639 orang.

Para pengundi diharapkan supaya keluar mengundi dengan merancang masa dan keluar pada awal pagi serta tidak memilih untuk keluar mengundi disaat-saat akhir bagi mengelak tidak sempat mengundi.

Ini disebabkan terdapat beberapa pusat mengundi yang ditutup lebih awal kerana faktor logistik dan kedudukan geografinya untuk memastikan keputusan dapat disampaikan pada masa yang ditetapkan setelah pusat mengundi ditutup.

Daripada 17 pusat me­ngundi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Came­ron Highlands, paling awal ditutup ialah di SK Lemoi iaitu pada pukul 1 petang.

Sebahagian besar daripada 12 pusat mengundi di DUN Jelai ditutup pada pukul 2 hingga 3.30 petang.

Waktu penutupan awal pusat mengundi bukan isu kerana ia dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Selain itu, SPR juga telah mengingatkan pengundi supaya keluar awal untuk mengundi berikutan keada­an cuaca yang tidak menentu serta dijangka hujan di sebelah petang.

Paling penting pengundi jangan lupa membawa kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri yang rasmi dan sah serta tidak menye­rahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain petugas pilihan raya.