Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, keyakinan itu berdasarkan senario politik, penerimaan rakyat terhadap kerajaan BN dan barisan calon yang umumnya telah memberi khidmat sekian lama serta menterjemahkan slogan Terengganu Molek Doh.

“Jarang keseluruhan negeri akan berlaku saingan tiga penjuru, saya yakin calon-calon ditonjolkan begitu berwibawa misalnya di Parlimen Kuala Nerus yang diketuai oleh Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad, dibantu pegawai pembangunan dan penyelaras Parlimen yang berpengalaman menjaga serta berkhidmat di kawasan.

“Saya juga berkeyakinan penuh rakyat akan menyokong BN di seluruh negeri dan Insya-Allah kita mampu mengulangi kemenangan pada 2004 dalam PRU-14,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Ra­zif gembira kerana proses pe­namaan calon di negeri ini berjalan dalam suasana tenang sambil mengucapkan terima kasih kepada penyokong parti BN, Pas serta PKR berikutan tidak agresif dan berpolitik secara matang.

“Ini menampakkan satu pembaharuan dan proses demokrasi terpimpin. Terima kasih juga kepada pasukan keselamatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membuat persiapan rapi dalam menghadapi PRU-14,” katanya.

Dalam PRU-14, BN Terengganu mengekalkan 18 penyandang selain mengetengahkan 14 muka baharu termasuk Tengku Asmadi bersama dua calon wa­nita, Toh Puan Zaiton Mat Amin bagi DUN Bukit Payong dan Datuk Zainun Abu Bakar (DUN Sura) di samping menggugurkan dua penyandang kerusi Parlimen iaitu Datuk Seri Jailani Johari serta Datuk Zulkifly Jusoh.

Selain itu, berlaku satu pertukaran kerusi iaitu Datuk Mohd. Jidin Shaffe, penyandang kerusi DUN Permaisuri yang beralih ke kerusi Parlimen Setiu dan tempatnya diisi Datuk Halim Josoh, seorang daripada tujuh calon yang ditampilkan semula setelah tidak dicalon pada PRU-13.

Pas pula turut mengekalkan sebahagian besar penyandang kecuali Dr. Syed Azman Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (DUN batu Buruk) kerana tidak lagi mendukung aspirasi parti dan juga Mohd. Abdul Wahid Endut (DUN Wakaf Mempelam) kerana masalah kesihatan.

Calon-calon PKR pula keba­nyakannya adalah dalam kala­ngan muka baharu yang tiada pengalaman politik manakala pemimpinnya tidak mempunyai pengaruh meluas di negeri ini.

Dalam senarai barisan calon PKR turut menampilkan dua calon wanita iaitu Fatimah Lailati Omar (DUN Bukit Tunggal) dan Sharifah Norhayati Syed Omar (DUN Telemung).