Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, rakyat sememangnya kini tidak berpuas hati dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) termasuk berkaitan janji-janji yang tidak tertunai.

“Ada juga perkara yang dulunya diberikan kepada rakyat semasa era BN tetapi sekarang sudah dihapus dan dikurangkan. Oleh itu sangat baik sekiranya momentum penolakan rakyat ini dapat diteruskan.

“Saya rasa rakyat akan untung apabila PH nampak mereka mengalami kemerosotan sokongan, mungkin mereka akan lebih peka kepada nasib rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Santai Anak Muda di Bilik Gerakan Sungai Lalang, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Semenyih Barat di sini malam tadi.

Khairy yang merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO berkata, kebangkitan BN itu juga perlu mengambil masa, namun jika kerusi Semenyih dapat dimenangi, ia tentu akan mempercepatkan lagi kebangkitan tersebut.

“Saya tak kata kita dah bangkit sepenuhnya, permulaannya di Cameron Highlands apabila kita memperoleh majoriti yang besar, jadi jika kita menang di Semenyih, momentum itu akan bertambah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama di antara UMNO dan Pas semasa kempen PRK Semenyih ketika ini, Khairy berkata, kerjasama itu jelas dilihat terutama di peringkat pelaksanaan di akar umbi.

“Saya lihat di peringkat pelaksanaan, jentera dan sebagainya semua berjalan seperti mana yang diharapkan iaitu kerjasama seperti di Cameron Highlands berterusan.

“Saya difahamkan kita sedang merancang untuk diadakan beberapa ceramah perdana yang melibatkan kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti, kita tunggu dan lihat,” katanya. - UTUSAN ONLINE