Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya mengambil pendirian positif dan belajar daripada kekalahan tersebut.

“Ada beberapa masalah dibangkit rakyat yang meletakkan harapan tinggi dan tidak dapat ditunaikan serta penjelasan tidak diberikan. Saya tidak fikir (kekalahan) ini sebagai sangat mengejutkan.

“Penilaian yang dibuat beberapa hari sebelum PRK itu mendapati (calon PH) tidak akan menang tetapi saya perlu menunjukkan contoh memberikan tentangan dan cuba sedaya upaya,” katanya.

Beliau Berkat demikian kepada para pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Bumi Sedunia peringkat DUN Bagan Pinang bersama Hari Ladang Pejabat Pertanian Port Dickson di Balai Raya Bagan Pinang dekat sini hari ini.

Dalam PRK DUN Rantau, 13 April lalu, calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menang selepas menewaskan calon dari PH dan dua calon Bebas.

Mohamad meraih 10,397 undi menewaskan calon PH, Dr. S. Streram dari PKR yang mendapat 5,887 undi manakala calon Bebas R. Malar Vizhi 83 undi dan Mohd Nor Yasin 79 undi.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memberitahu, Rantau adalah kubu kuat BN dan ramai orang yang telah menerima manfaat semasa Mohamad menjadi Menteri Besar.

“Rantau bukan kubu kita, lainlah di Permatang Pauh atau Port Dickson, kalau kita kalah itu ada masalah namanya,” ujarnya.

Katanya, beliau belum menerima laporan lengkap mengenai dakwaan berlakunya sabotaj oleh jentera PH dalam PRK tersebut.

Jelasnya, siasatan awal telah dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun selaku Pengarah PRK DUN Rantau, tetapi laporan lengkap belum dimaklumkan kepadanya.

Dakwaan sabotaj yang dibangkitkan itu antaranya ialah ketiadaan pengangkutan untuk membawa penyokong PH ke pusat mengundi serta segelintir pemimpin PH yang didakwa meminta pengundi tidak memilih Streram. - UTUSAN ONLINE