Antara yang perlu dilihat ialah institusi speaker atau lebih tepat, jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang kini jadi perhatian ramai.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohammad Ariff Md. Yusof ada dua timbalan bagi membantu beliau mengendalikan persidangan.

Pertama, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Ahli Parlimen Batu Pahat mewakili PKR. Beliau tidak menjadi isu tetapi seorang lagi timbalan beliau, Nga Kor Ming ‘panas’ dalam sesi mesyuarat ini dengan terbaharu melibatkan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau).

Ini gara-gara ulasan politik yang dibuat Kor Ming atas kapasiti Timbalan Setiausaha Agung DAP dan Pengerusi DAP Perak di luar persidangan berhubung negara Taliban andai kerjasama UMNO dan Pas menjadi kerajaan.

Memisahkan antara luar persidangan dengan kedudukan Kor Ming dalam menjalankan tugasnya di Dewan Rakyat memang garisnya sangat halus. Oleh itu, lihat kembali kepada amalan di United Kingdon (UK) sebagai penyelesaian isu ini.

Negara model Parlimen Westminster itu mempunyai seorang speaker dengan dibantu tiga timbalan bagi House of Commons. Malaysia seperti UK, individu yang dilantik sebagai speaker melepaskan segala jawatan politik untuk memelihara prinsip tidak memihak dan ini diteruskan Mohammad Ariff.

Bagi timbalan speaker, ada sedikit perbezaan antara Malaysia dan UK tetapi perbezaan itulah bahagian yang penting. Di UK, individu yang dilantik timbalan speaker tidak akan lagi aktif dalam politik parti kecuali hal berkaitan Parlimen diwakili sahaja.

Dalam era Malaysia baharu, Kor Ming masih pemimpin kanan DAP dengan kekal memegang jawatan yang disandang sebelum beliau dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ini sebabnya beliau terus mengulas perkembangan politik nasional sehingga timbul kontroversi negara Taliban yang sekaligus mendedahkan beliau kepada kritikan politik waima ketika menyarung jubah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Perkara ini mungkin boleh dielakkan jika mana-mana timbalan speaker hanyalah seorang wakil rakyat biasa dengan terbatas berpolitik hal-hal kawasan diwakili sahaja seperti mana amalan di UK.

Justeru, sudah masanya Parlimen melihat balik amalan UK yang turut dipraktikkan di Australia untuk dilaksanakan di Dewan Rakyat agar prinsip adil, saksama dan tidak berat salah atau ‘impartiality’ itu dipelihara. 

Namun ada berpandangan lebih baik jika Kor Ming memilih sama ada kekal menjadi pemimpin kanan DAP atau mengundurkan diri daripada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. - UTUSAN ONLINE