Tindakan Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar UMNO memang mengejutkan tetapi tidak pelik kerana tiada satu benda di dunia ini yang kekal. Keluar masuk pemimpin perkara biasa. Tidak ada satu parti pun yang ranap atau roboh disebabkan tindakan tersebut.
Namun apa yang pasti tindakan Tok Pa adalah satu panggilan untuk UMNO bangun daripada tidur kerana sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 tiada langkah yang benar-benar dapat mengurangkan defisit kepercayaan rakyat terhadap parti itu.
Biarpun kerajaan Pakatan Harapan ‘huru hara’ sejak empat bulan lalu, namun UMNO tidak dapat mengambil kesempatan.
Hala tuju UMNO tidak jelas, seolah-olah penerajunya hilang kreativiti. Yang hanya kedengaran adalah soal untuk menjadi kerajaan melalui ‘pintu belakang’.
Sudah tidak menjadi rahsia lagi pertemuan di antara pemimpin UMNO dengan Perdana Menteri atau Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pertemuan seperti mengemis untuk meminta nyawa.
Dalam masa sama, harus diingat masyarakat hari ini menjadikan masalah diri dan soal isi perutnya sebagai keutamaan. Perut yang lapar membuatkan mereka hilang kewarasan untuk berfikir sehingga meletakkan soal agama serta bangsa di tangga kedua.
Justeru, apakah tepat menggunakan Melayu dan Islam sebagai strategi untuk meraih undi jika itu senario yang berlaku hari ini? Dan sudah tidak pelik lagi mendengar orang Melayu dan Islam mengeluarkan frasa: “Lebih baik bukan Islam daripada Islam yang rasuah dan perompak”.
Justeru, apakah kerjasama UMNO-Pas akan membuahkan hasil? Untuk sebahagian Melayu dan Islam khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah mungkin berjaya kerana banyak pondok di negeri-negeri ini. Di Pantai Barat soal perut dan masalah diri tetap menjadi keutamaan.
Tidak dinafikan kerjasama tersebut amat penting untuk perpaduan Melayu dan Islam tetapi janganlah sampai nampak UMNO terlalu terdesak sehingga dipandang rendah sedangkan parti itu yang berusia 72 tahun itu masih mempunyai kekuatan.
Jujurnya, keputusan Tok Pa sedikit-sebanyak menjejaskan UMNO kerana beliau kelihatan di antara tokoh yang paling bersih dalam parti itu. Namun, UMNO tidak perlu meratapinya, malah harus berterima kasih kerana tindakan itu satu panggilan untuk mengejutkan mereka daripada tidur yang terlalu nyenyak.