Bekas Naib Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Jempol itu hadir bersama isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid.

Beliau dijemput menghadiri majlis itu bagi menghargai jasanya yang pernah mengetuai UMNO bahagian berkenaan selama 40 tahun.

Mohd. Isa ketika ditanya sama ada akan kembali menyertai UMNO berkata, beliau datang kerana memenuhi jemputan ke majlis tersebut.

Bekas Pengerusi Felda itu juga mengakui tidak menerima sebarang surat mengenai status keahliannya dalam UMNO selepas mengumumkan keluar parti tahun lalu.

“Tak ada apa-apa (surat),” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian itu yang disempurnakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mohd. Isa bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober tahun lalu, sekali gus bertentangan dengan keputusan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) yang tidak meletakkan calon.

Beliau yang berdepan kemungkinan dipecat kemudian menyerahkan surat keluar dari UMNO beberapa hari sebelum hari pengundian PRK yang dimenangi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Ketua UMNO bahagian tersebut, Mohd. Faizal Ramli berkata, beliau mengalu-alukan kehadiran Mohd. Isa dan ini membuktikan semangat UMNO masih kukuh dalam diri pemimpin tersebut.


MOHD. ISA ABDUL SAMAD (kanan) bersalaman dengan Ismail Sabri Yaakob selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Telok Kemang di Port Dickson hari ini. - UTUSAN ONLINE/AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN

“Kita tahu beliau tidak berhasrat lawan UMNO, sebaliknya bertanding kerana tidak mahu Anwar menang dalam PRK lalu. Ini menunjukkan semangat UMNO beliau masih kuat,” katanya.

Jelasnya, Mohd. Isa dijemput untuk diraikan bagi mengenang jasanya sebagai ‘orang lama’ parti berkenaan. - UTUSAN ONLINE