Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti semua individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, pagi tadi.

“Kita telah terima laporan polis dibuat Syed Saddiq di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya dan ia kini diteliti Ibu pejabat Polis Daerah Kajang, iaitu lokasi serangan dan provokasi itu berlaku.

“Selain itu, kita juga akan merujuk kecederaan dialami menteri tersebut kepada pihak hospital berikutan dakwaannya dicekak pada bahagian leher oleh seorang individu,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau berkata polis akan mengesan semua individu yang dilaporkan melakukan provokasi serta mereka yang dipercayai mencederakan Syed Saddiq termasuk seorang exco Pemuda UMNO yang dikenali sebagai Papagomo.

“Siasatan akan dilakukan merangkumi semua aspek termasuk maklumat saksi yang berada di lokasi kejadian dan laporan mangsa sendiri, jadi saya minta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan lanjut dilakukan,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Pemuda Pakatan Harapan itu membuat laporan polis berhubung dakwaannya diserang semasa menghadiri proses penamaan calon di Semenyih, dekat sini hari ini.

Syed Saddiq tiba di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya, kira-kira pukul 2 petang sebelum keluar kira-kira pukul 3.30 petang.

Katanya, dalam kejadian tersebut, dirinya telah diserang oleh seorang exco Pemuda UMNO yang didakwa telah mencekak lehernya dengan kuat dan mengugutnya supaya keluar dari kawasan berkenaan. - UTUSAN ONLINE