Di Balik Pulau, calon Ketua Cabang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik pada mulanya 'dinafikan' hak untuk mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yan Cheng di Teluk Kumbar di sini kerana namanya tidak tersenarai sebagai ahli.

Muhammad Bakhtiar yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata, beliau berasa pelik kera­na sebagai calon yang bertanding di kawasan ber­kenaan, keahliannya tidak dapat dikesan.

“Saya kemudian diarahkan mengisi borang 11 iaitu borang ragu-ragu dan akhirnya dibenarkan mengundi pada pukul 12.30 tengah hari,” katanya di sini hari ini.

Kekecohan sekali lagi tercetus apabila Muhammad Bakhtiar yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau tidak dibenarkan mengisi borang 11 iaitu dokumen keraguan oleh petugas namun selepas perbincangan dengan seorang lagi calon Ketua Cabang, Datuk Abdul Halim Hussein, perkara berkenaan dapat diselesaikan.

Sementara itu, calon Ketua AMK Balik Pulau, Adzlan Adzhar berkata, suasana tegang pemilihan di kawasan berkenaan sudah dijangka sejak awal.

“Kekecohan berlaku apabila terlalu banyak dipersoalkan tentang borang 11. Pihak lawan mengambil terlalu ramai pemuda yang bukan ahli untuk datang me­ngundi dan guna borang berke­naan kerana mendakwa pernah mendaftar sedangkan nama tiada dalam senarai,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Lebih mengecewakan kata­nya, terdapat calon bertanding memberi maklumat salah tentang tempat pengundian kepada ahli.

Adzlan mendakwa, ahli-ahli yang pergi ke situ kemudiannya diberi makanan dan di­arahkan mengundi calon tertentu serta diberikan pelekat sebelum dibawa menaiki bas ke lokasi sebenar tempat mengundi.