Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Perdana Menteri diakui mempunyai wawasan dan cita-cita yang tinggi namun gagal diikuti oleh barisan Kabinet.

“Bagi saya selepas hampir setahun ini, kerajaan PH gagal. Mereka kecewakan ramai pengundi yang memberi kepercayaan dan menaruh harapan tinggi sehingga menukar kerajaan.

“Dr. Mahathir ada wawasan dan cita-cita tetapi wawasannya itu tidak mampu diterjemahkan oleh barisan Kabinet. Hampir separuh barisan Kabinet PH dilihat gagal,” katanya ketika ditemui selepas

ceramah Perpaduan Ummah di Markas Pas Sanglang, di sini malam tadi.

Sementara itu, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan menyifatkan kerajaan PH tidak mempunyai idea selepas dilihat hanya tahu menjenamakan semula idea-idea atau projek kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

Kata beliau, tindakan itu hanya seperti ‘menukar baju tetapi badan sama’ yang langsung tidak memberi sebarang kesan atau makna.

“Kalau mereka (PH) lihat Permata Negara (Permata) tidak bagus, buatlah produk atau ketengahkan idea baharu yang lebih baik, bukan tukar nama semata-mata,” katanya. - UTUSAN ONLINE