SITI BERENEE YAHYA
SITI BERENEE

Sebaliknya beliau menegaskan, kemelut tersebut sudah berakhir apabila kesemua sembilan wakil rakyat BN telah menyatakan pendirian menyokong Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar seperti mana diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

“Kami semua telah akur dan memberi sokongan (pelantikan Azlan) dan tidak mahu perkara ini dipanjangkan lagi.

“Kenyataan Zahidi yang ingin membawa isu tersebut ke mahkamah hanya kenyataan peribadi kerana wakil rakyat lain semua telah akur kepada titah Tuanku Syed Sirajuddin,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Zahidi sebagai mana dipetik daripada laporan portal Malaysiakini hari ini tetap berkeras untuk membawa isu pelantikan Azlan ke mahkamah dengan alasan pelantikan ADUN Bintong itu bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri iaitu dibawah fasal 39(6) yang menyatakan Menteri Besar harus meletakkan jawatan jika tidak mendapat sokongan.

Dalam masa sama, Zahidi juga menyifatkan isu tersebut masih belum selesai dan menganggap kenyataan ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad berhubung perkara tersebut sebelum ini hanya pandangan peribadi yang tidak mewakili semua wakil rakyat.

Asmaiza sebelum ini dilaporkan berkata, kesemua ADUN BN telah membuat keputusan bersama untuk menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin dalam pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

Tambah Siti Berenee, beliau berharap kemelut tersebut tidak lagi berpanjangan kerana fokus sekarang adalah memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Kita juga sudah berjumpa Azlan (baru-baru ini) dan semuanya dalam keadaan positif selain kita boleh memberi kerjasama,” katanya. - UTUSAN ONLINE