"Kalau parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) ini membelot dan tidak setia kepada negara, saya akan tukar kepada parti lain."

Demikian tegas Tun Mahathir Mohamad ketika ditanya pandangan beliau tentang penerimaan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) terhadap kemasukan tujuh wakil rakyat UMNO hari ini.

Tegasnya, beliau boleh berubah-ubah (mobile), bukan tetap selamanya (fixed).

Menurutnya, kemasukan enam bekas Ahli Parlimen UMNO hari ini serta Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin tidak bermakna mereka memperoleh perlindungan daripada parti.

Sebaliknya jelas beliau, mereka menjadi ahli biasa dan tidak boleh memegang sebarang jawatan.

"Kita mengguna mereka untuk mendapatkan pendapat atau pada pilihan raya, kita beri mereka peluang berkempen bagi Bersatu dan PH.

"Ini tujuan kita sebab kita dapati ada usaha menghidupkan semula UMNO kononnya sekarang UMNO mendapat pemimpin baharu dan kemungkinan parti itu dapat dihidupkan semula dengan kerjasama bersama Pas," katanya.

Dr. Mahathir menegaskan, kerjasama UMNO-Pas ketika ini hanya untuk kepentingan politik bukan untuk agama dan bangsa.

Selain Mas Ermieyati, wakil-wakil rakyat yang menyertai Bersatu ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz. - UTUSAN ONLINE