Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara yang perlu diteliti ialah tiga elemen penting dalam peristiwa yang berlaku pada 19 November 1985 itu.

Ahmad Zahid berkata, elemen itu termasuklah jika ada arahan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika itu untuk melakukan penembakan yang menyebabkan kematian bukan sahaja kepada Ustaz Ibrahim Mahmud atau dikenali sebagai Ibrahim Libya malah pengikutnya.

Tambah Ahmad Zahid, selain itu kerajaan juga perlu meneliti tujuan arahan penembakan berkenaan dibuat kepada pihak polis dalam peristiwa itu sehingga mengakibatkan 18 nyawa terkorban termasuk empat anggota pasukan berkenaan.

“Adakah tindakan pihak polis tersebut juga berdasarkan kepada arahan dan arahan ini kita harap adalah arahan yang bersandarkan kepada menjaga soal keselamatan bukan kerana arahan politik.

“Ketiga pula jika ada sebarang unsur penganiayaan atau kezaliman dilakukan oleh sesiapa saja yang telah mengeluarkan arahan sedemikian. Maka tugas RCI ini adalah untuk menyiasat siapakah orang yang menjadi tokoh penting yang telah mengarahkan operasi di memali ini dilakukan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Santai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri bersama warga PDRM Bagan Datuk dan Hilir Perak di Balai Polis Hutan Melintang dekat sini hari ini.

Pada 16 Feb lalu, penyokong Gagasan Sejahtera serta wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menuntut kerajaan menyegerakan penubuhan RCI berhubung isu Memali yang berlaku ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri.

Peristiwa Memali pada 19 November 1985 menyebabkan 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap Ibrahim Libya. - UTUSAN ONLINE