Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Eric See-To berkata, kadar tambang yang dikemukakan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua Kiam Wee itu menunjukkan pemim­pin pembangkang gagal dalam memahami dunia ekonomi bergerak dan kepen­tingan hubungan dalaman antara pemegang konsesi dengan penajanya.

Katanya, sebab utama kerajaan tidak menaikkan kadar tambang ERL kerana berusaha untuk melindungi kepentingan rakyat dengan memberi pelbagai pilihan pengangkutan untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

“Pertamanya, syarikat ERL mempunyai liabiliti sebanyak RM2.8 bilion dan kebanyakannya dalam bentuk bon dan pinjaman yang dimiliki oleh Tabung Haji serta bank-bank. Tabung Haji turut mempunyai 40 peratus kepenti­ngan dalam ERL yang dilaburkan ketika memulakan projek infrastruktur tersebut pada 1997.

“Sekiranya ERL rugi seperti yang didakwa Tony, maka Tabung Haji akan kehilangan bilion ringgit manakala bank-bank tidak akan meluluskan pinjaman syarikat itu. Sudah tentu kerajaan memikirkan kesan-kesan tersebut, bukan seperti pemimpin pembangkang itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara mencabar kerajaan Pusat supaya menaikkan kadar tarif perkhid­matan ERL dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), bukan menyelamatkannya dengan lanjutan konsesi sehingga 30 tahun.

Katanya, berdasarkan jadual permulaan ERL untuk kenaikan tambang, harga tiket pada masa ini sepatutnya RM74 dan bukannya RM55 dan harga harus dinaikkan pada tahun 2019 kepada RM97, diikuti pada tahun 2024 hingga RM126.

Jelas Eric, perkara kedua pula kos RM2.9 bilion masih tertunggak itu perlu dibayar sekarang jika perjanjian konsesi ERL itu tidak dilanjutkan, justeru kerajaan mengambil keputusan tidak membayar jumlah itu sekarang demi kepentingan rakyat.

“Syukurlah pembayaran ini akan berakhir pada 2029 dan tidak akan dilanjutkan walaupun tempoh konsesi ERL dilanjutkan sebab pembayaran Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) serta unjuran pendapatan yang bersifat optimis membolehkan kerajaan meraih pampasan yang besar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa Tony supaya mempersoalkan Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebab beliau bersetuju dengan terma-terma tersebut pada awal pemerintahannya lalu.

“Mahathir bersetuju untuk membayar peratusan tertentu daripada PSC atau Cukai Lapangan Terbang yang dikutip oleh KLIA untuk penumpang antarabangsa dan domestik tanpa mengira sama ada penumpang mengambil ERL ke lapa­ngan terbang atau tidak,” katanya.