Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

Ketua Penerangan UMNO Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, anggota Kabinet kerajaan perlu mengambil tindakan dan membuat perubahan terhadap teguran Dr. Mahathir yang tidak berpuas hati dengan prestasi mereka.

“Umpamanya isu pelantikan Menteri Pendidikan di Universiti Islam Aantarabangsa Malaysia, apabila Perdana Menteri sendiri membuat komen ini menunjukkan sesuatu yang tidak kena.

“ Justeru itulah, saya nampak perubahan tidak dilakukan dan ini menampakkan kelemahan ketara kepada kerajaan PH,” kata Shamsul Anuar dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Anuar mengulas kenyataan  Dr. Mahathir baru-baru ini yang menyatakan sememangnya tidak mudah berpuas hati dengan apa-apa pencapaian termasuk dalam soal prestasi Kabinetnya. Dr. Mahathir menekankan keperluan bertindak dalam tempoh masa yang pantas.

Shamsul Anuar mendakwa,  prestasi anggota Kabinat turut mengambarkan pentabiran Perdana Menteri sendiri.

“Pada saya tidak kiralah siapa mencadang barisan Kabinetnya. Ini kerana Perdana Menteri bertanggungjawab terhadap kerja dan prestasi mereka apatah lagi beliau punyai kuasa mutlak melantik atau mengugurkan mereka.

“Jadi jika prestasi mereka mendukacitakan ia juga mengambarkan kelemahan Perdana Menteri sendiri,” kata beliau.

Berikut adalah kenyataan penuh Shamsul Anuar:

1. Bukan sahaja Perdana Menteri Malaysia tidak puashati malah pelbagai pihak punyai perasaan yang sama malah jika penilaian prestasi Kabinet Kerajaan PH dibuat oleh rakyat sangat jelas ia memang mendukacitakan sekali.

2. Hakikatnya, kenyataan atau komen Perdana Menteri terhadap Menteri Kabinetnya bukan sekali atau perkara baru kerana telah beberapa kali. Ini mengambarkan bahawa teguran atau komen itu sangat serius dan sepatutnya mestilah disusuli dengan tindakan oleh anggota kabinet Kerajaan PH sebagai respon untuk melakukan perubahan. Umpamanya isu pelantikan Menteri Pendidikan di UIAM, apabila Perdana Menteri sendiri membuat komen ini menunjukkan sesuatu yang tidak kena.

3. Justeru itulah, saya nampak perubahan tidak dilakukan dan ini menampakkan kelemahan ketara kepada Kerajaan PH. Pada saya, kalau dikatakan bahawa mereka baru dan tiada pengalaman ia suatu yang tidak boleh diterima kerana sudah lebih empat bulan Kerajaan PH memerintah negara ini malah kerajaan didokong oleh kakitangan kerajaan yang berpengalaman.

4. Kemudian, sangat tidak adil jika Perdana Menteri menyalahkan kakitangan kerajaan bilamana berlaku kelemahan prestasi kerajaan. Apatah lagi jika mendakwa mereka terlalu taksub kepada Barisan Nasional yakni kerajaan terdahulu. Ini kerana sewaktu BN memerintahpun bukan semua kakitangan kerajaan menyokong BN jadi keadaan yang sama juga berlaku sebenarnya. Malah, prestasi kerajaan sangat baik.

5. Pada saya, yang penting ialah pemimpin kerana kakitangan akan melaksanakan semua arahan jika pemimpin punyai wawasan, berwibawa, dan dihormati serta nilai positif yang lain. Namun jika semua nilai ini kurang ia akan menyebabkan prestasi yang diharapkan tidak tercapai. Inilah yang berlaku pada Kerajaan PH.

6. Dari keadaan itulah, kita boleh menilai selain daripada pelbagai janji yang tidak tertunai. Persoalan yang boleh kita tanya kepada pimpinan Kerajaan PH ialah apa program baru yang lebih baik dari Kerajaan BN dibuat oleh Kerajaan PH baik dalam sektor pendidikan, sektor ekonomi, sektor pertanian dan sebagainya. Jawapannya ialah hampir tiada langsung perkara baru. Ini kerana apa yang dibuat sekarang hanya dari apa yang dibuat oleh kerajaan terdahulu malah kalau nampak baru pun hanyalah "tukar kulit " semata-mata.

7. Pada saya tidak kiralah siapa mencadang barisan Kabinetnya. Ini kerana Perdana Menteri bertanggungjawab terhadap kerja dan prestasi mereka apatah lagi beliau punyai kuasa mutlak melantik atau mengugurkan mereka. Jadi jika prestasi mereka mendukacitakan ia juga mengambarkan kelemahan Perdana Menteri sendiri.

8. Selain itu, teguran Perdana Menteri itu juga mungkin adalah alasan beliau untuk meneruskan peranan Majlis Penasihat Kerajaan ( CEP ) yang sepatutnya telah berakhir.

9. Paling mendukacitakan ialah apabila rakyat yang menerima akibatnya. Kenaikan kos sara hidup ketika ini menekan rakyat. Usaha Kerajaan PH setakat ini tidak nampak jelas dan kurang berkesan. Malah rakyat dihidangkan dengan pelbagai perkara baru yang membebankan. Rakyat nampaknya sudah terpaksa menerima bebanan kehidupan berbanding ketika Kerajaan BN memerintah.

 DATUK DR. SHAMSUL ANUAR NASARAH

Ketua Penerangan UMNO Malaysia.-UTUSAN ONLINE