Menurut Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu, ketika isu tersebut timbul, Pas sudah pun berdepan pelbagai serangan terutama oleh Pakatan Harapan (PH) berhubung dakwaan menerima RM90 juta daripada UMNO sehingga parti itu terpaksa berhabis wang jutaan ringgit bagi membersihkan nama.

Katanya, beliau mungkin membuat tindakan bodoh yang hanya merugikan parti jika memilih untuk tidak menafikan beliau adalah individu dalam rakaman audio terbabit ketika itu.

"Saya boleh anggap bahawa tindakan saya nak bercakap benar pada masa itu boleh jadi saya ini membuat tindakan yang bodoh iaitu membiarkan parti dilanda fitnah," katanya ketika ditemui pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Terdahulu menerusi akaun Facebook miliknya, Nik Mohamad Abduh mengaku beliau ialaj individu yang dirakam bercakap mengenai Pas menerima duit UMNO sebelum rakaman audio tersebut tular menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu.

Perkara tersebut dinyatakan dalam penjelasan panjang lebar yang dibahagikan kepada enam bahagian yang dipanggil ' pintu' sebelum dikongsikan Nik Mohamad Abduh sendiri.

Mengulas lanjut, anak kepada Bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu berkata, menjaga kerahsiaan serta disiplin adalah lebih utama apabila berada dalam satu kumpulan atau parti yang besar.

"Sebagai contoh di Kelantan, apabila dokumen isu baiah talak tiga tular sebelum ini, Allahyarham Tok Guru (Nik Abdul Aziz) ketika ditanya turut menafikan perkara itu.

“Bagi allahyarham, kalau nak dikata bohong, maka bohonglah, tetapi sebenarnya allahyarham mahu menjaga kerahsiaan. Itu antara pengalaman yang saya dapat sebagai anak kepada Menteri Besar Kelantan,” katanya.

Beliau turut menegaskan, keputusan menafikan perkara itu bukanlah sesuatu yang rahsia sebaliknya diketahui semua pimpinan tertinggi parti.

Malah katanya, kenyataan panjang lebar beliau hari ini juga disokong semua pimpinan parti.

"Penafian saya sebelum ini adalah atas dasar disiplin walaupun saya berhak bercakap benar,” katanya. - UTUSAN ONLINE