Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, walaupun alasan yang digunakan adalah untuk menyalurkan bantuan kepada masyarakat namun mereka sama sekali tidak boleh menggunakan aset atau harta kerajaan untuk tujuan parti.

“PH memang tegas dalam aspek penggunaan (aset kerajaan) ini dan sangat berhati-hati, jadi dia kena terima fakta bahawa harta kerajaan memang tidak boleh digunakan untuk parti.

“Dia akan dikenakan tindakan sewajarnya walaupun saya dengar tindakannya itu betul adalah untuk rakyat tetapi kena ada ‘demarcation line’,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Meningkatkan Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia (EM-IIG) di Subang Jaya, dekat sini hari ini.

Mohd. Rashid yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, beliau percaya kementerian berkaitan akan mengambil tindakan sepatutnya terhadap individu dan pihak yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

“PH juga sedang mencari jalan dan kaedah untuk membantu parti-parti sebab tiada dana. Kertas kerja untuk tujuan itu dalam perbincangan,” katanya.

Dalam klip rakaman video berdurasi lima minit yang tersebar sejak kelmarin memaparkan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji bersemuka dengan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Rompin, Datuk Seri Maznah Mazlan kerana berang dengan tindakan jentera Barisan Nasional (BN) menyelak bendera PH yang ditampal di kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.