Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, penularan gambar itu dilihat sebagai satu perkara yang baik kerana memberi kesedaran kepada calon dan jentera kempen mereka agar berwaspada dalam sebarang tindakan.

Malah katanya, pendedahan kes itu juga menunjukkan peranan orang ramai dalam menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat untuk kes-kes seumpama itu.

“Kesedaran timbul apabila ada pendedahan sesuatu kes oleh netizen dan diharap mereka akan terus memainkan peranan yang penting dalam menyalurkan maklumat,” katanya.

Menurut beliau, sejak penamaan calon pada Sabtu lalu, pemantauan yang dilakukan pihaknya mendapati terdapat beberapa kes terpencil berkaitan salah guna kuasa dan rasuah di mana laporan mengenai perkara itu telah pun dirujuk kepada pihak berkuasa.

Katanya, aduan berhubung kes berkenaan diterima pihaknya daripada orang awam membabitkan calon dan parti yang bertanding.

“Setakat ini kita menerima lima aduan kes salah guna kuasa dan rasuah. Kita tiada kuasa menyiasat dan telah menyalurkan isu yang diperoleh daripada netizen itu kepada SPRM untuk siasatan,” katanya. - UTUSAN ONLINE