Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, walaupun sebelum ini ada gesaan supaya calon Melayu dipilih namun kesetiaan antara kaum tetap dipertahankan.

“Selepas calon Melayu menang dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih, ada yang kata elok PH letak orang Melayu di Rantau.

“Kita tak boleh terperangkap dengan hanya satu kaum sebab formula politik Malaysia memerlukan kerjasama antara berbilang kaum.

“Saya minta jentera Amanah jangan ‘segan’ bekerja di Rantau semata-mata kerana Streram bukan orang Islam dan Melayu. Kalau kita berfikiran macam itu kita telah diperangkap oleh Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera Amanah bagi PRK DUN Rantau di Taman Kelab Tuanku di sini malam ini.

Yang turut hadir Naib Presiden Amanah, Dr. Hassan Bahrom: Pengarah Pilihan Raya Amanah, Datuk Dr. Hatta Ramli dan Pengerusi Amanah negeri, Datuk Zulkifly Mohamad Omar.

Sementara itu Streram berkata, sebagai seorang pakar bius, selama ini beliau membantu pesakit tanpa mengira kaum dan agama.

Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau itu berkata, beliau turut memahami keperluan dan kesusahan rakyat kerana datang dari keluarga miskin. - UTUSAN ONLINE