Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kerjasama itu mesti diterjemah dalam Parlimen, gerak kerja politik serta penyediaan bajet alternatif.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, beberapa PRK mutakhir ini bukan merupakan penentu mutlak kepada kejayaan kerjasama politik Pas dan UMNO.

“Saya kira kerjasama ini wajar diteruskan. Kerjasama politik dalam bentuk apa dan melibatkan mana-mana parti sekalipun, memang memerlukan masa untuk matang dan diterima oleh pengundi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai Muktamar Tahunan Pas ke-64 pada hujung minggu ini yang bakal mencipta sejarah politik baharu tanah air dengan memperlihatkan hubungan kerjasama di antara Pas dan UMNO.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, UMNO perlu mendapat persetujuan yang menyeluruh berhubung kerjasama yang akan dibentuk di antara kedua-dua parti.

Katanya yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Temerloh, platform yang terbaik adalah Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung hujung bulan ini.

“Persetujuan perwakilan per­lu bagi menentukan bentuk kerjasama yang akan dijalinkan. Bukan semua perkara UMNO bersetuju dengan Pas, begitu juga sebaliknya,” katanya.

Ketua Penerengan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah pula berpendapat, banyak lagi usaha perlu dilakukan oleh kedua-dua parti terutamanya dalam memberikan pemahaman dan penjelasan kepada pimpinan serta ahli di peringkat akar umbi.

“Saya yakin ahli akan me­nerimanya apabila melihat perlunya orang Melayu dan Islam bersatu padu bagi menghadapi cabaran yang semakin mencabar kini,” ujarnya.