Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan, tindak-tanduk kerajaan terdahulu tidak harus diulangi kerana tidak akan membawa sebarang perbezaan yang diharapkan.

"Apabila ada kuasa, janganlah perasan sangat. Jangan angkuh dan sombong. Jangan ugut atau beli orang menggunakan wang. 

"Saya dah bagi amaran dulu, jangan salah guna kuasa. Apa guna kita tukar kerajaan dulu kalau kita juga lakukan benda yang sama.," katanya ketika berucap dalam majlis Agenda Malaysia Baharu anjuran PKR Terengganu di Terengganu Equestrian Resort  (TER) di sini petang  ini.

Menurut Anwar, perubahan baharu parti yang menekankan hubungan rakyat amat penting kerana mereka mengimpikan kepimpinan yang mengambil berat terhadap mereka, menolak amalan rasuah, berhemah dan tidak membazir wang rakyat.

Malah katanya, kerana hubungan dengan rakyatlah beliau akhirnya dibebaskan daripada penjara setelah Pakatan Harapan (PH) berjaya memerintah negara dengan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"Kalau bukan kerana rakyat yang membantu kemenangan PH dalam PRU-14 lalu, mungkin saya masih meringkuk dalam penjara sehingga kini.

"Sebab itulah, dalam agenda baharu politik sekarang, kita mahukan hubungan persaudaraan, keadilan untuk rakyat dengan menjanjikan masa hadapan rakyat, pembelaan untuk rakyat termasuk  melibatkan usaha memupuk hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri," ujarnya.

Sementara itu Anwar turut menegaskan PKR tidak memerlukan ahli-ahli yang mengamalkan budaya samseng seperti ala penjenayah sehingga boleh menjejaskan parti.

Sehubungan itu, beliau mengulangi amaran keras kepada semua pimpinan parti  termasuk  Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya orang yang dipecat tetapi masih dijaja  akan turut dikenakan  tindakan disiplin.

"Kita tidak memerlukan ahli-ahli yang melanggar peraturan dan disiplin, memiliki perangai samseng dan melakukan jenayah. Kita akan pecat, saya tidak peduli walaupun mereka itu kawan baik saya.

"Apa yang saya harapkan, semua ahli dan pemimpin parti mestilah mewujudkan hubungan dan kerjasama yang erat dalam usaha memberi keadilan kepada semua rakyat. Itulah pendekatan yang sedang kita bawa," katanya.-UTUSAN ONLINE