Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, serangan itu akan dilakukan pada saat-saat akhir Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyebabkan BN tidak mempunyai masa untuk menepis dan menjawab setiap fitnah itu.

“Saya hampir pasti di saat-saat akhir akan ada serangan untuk mencipta dan membaling fitnah ke atas BN kerana mereka amat terdesak sekarang ini.

“Apabila mereka telah melampaui batas kita lihat banyak lagi bahan bukan hanya yang bersifat isu-isu nasional tetapi pembunuhan karakter terutamanya kepada calon-calon (BN) di sesuatu kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pecah Tanah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah, Kampus Baling di Kampung Bandar di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menasihati pengundi agar tidak terperdaya dengan tohmahan pembangkang itu seperti dilakukan mereka pada PRU terdahulu.

Beliau mahu jentera dan penyokong parti supaya berada dalam siap-siaga untuk berhadapan dan menepis serangan fitnah termasuk kononnya BN membawa 40,000 warga Bangladesh untuk mengundi pada PRU-13.

“Jadi jangan pernah terperdaya dengan fitnah yang disebarkan bukan sahaja dalam bentuk risalah tetapi juga dalam media sosial.

“Saya juga berharap penyokong dan pendukung BN mempunyai daya tahan yang tinggi ketika menghadapi serangan ini,” kata­nya.

Ahmad Zahid turut meminta agar semua parti bersiap sedia ketika menghadapi pembunuhan karakter yang dilakukan ke atas calon-calon BN semata-mata untuk memburukkan reputasi mereka.

“Saya dapati serangan bukan sahaja berlaku di Baling tetapi juga di tempat lain. Jadi jentera parti akan melakukan pemantauan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang terlibat atau menyebarkan berita palsu.

“Saya tak perlu sebut nama penyerang itu, saya tak perlu sebut organisasi mana yang menyerang itu tetapi dalam Akta Antiberita Tidak Benar tunggulah sama ada SKMM dan PDRM kita tidak pernah akan berkompromi dengan sesiapa yang terlibat atau sebarkan berita palsu.

“Tunggu masa nanti sampai kepada individu dan organisasi berkenaan untuk diambil tindakan undang-undang. Tindakan pasti sampai kepada mereka,” tegasnya.

Terdahulu, Ahmad Zahid me­rasmikan majlis Pecah Tanah UiTM cawangan Kedah Kampus Baling yang bakal menerima 3,000 pelajar dalam siri pertama dan dijangka siap pada 2023 dengan menelan belanja kira-kira RM340 juta.

Menyentuh tentang UiTM cawangan baharu itu, katanya, ia merupakan usaha berterusan kerajaan untuk membantu pendidikan generasi muda dan meningkatkan tahap profesional mereka.