Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, itu merupakan salah satu persoalan penting dalam konteks semangat federalisme ketika rakyat di kedua-dua negeri itu memberi mandat kepada Pas untuk memerintah dalam keadaan Putrajaya di bawah kerajaan Pakatan Harapan yang tidak sehaluan.

Katanya, kerajaan Persekutuan tidak harus mengulangi tindakan yang diambil ketika kerajaan Pas memerintah Terengganu pada 1999 apabila royalti ditarik balik dan ditukar statusnya kepada wang ehsan.

“Yang paling penting isu royalti bagi Kelantan dan Terengganu (berkait dengan manifesto Pakatan Harapan),. negeri-negeri yang punyai petroluem perlu dihormati tentang hak mendapat royalti,”ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Selain isu royalti, mesyuarat khas Dewan Pemuda Pas hari ini juga turut menyentuh soal perlembagaan negara yang mesti dihormati dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara, raja-raja dan hak-hak Melayu.

Untuk rekod, pergantungan Terengganu terhadap hasil minyak dalam merencanakan keperluan negeri dan rakyat masih pada tahap mencecah 85 peratus daripada keseluruhan hasil yang diperoleh setiap tahun.

Tanpa royalti pentadbiran negeri di bawah Pas akan berdepan dengan keadaan yang sangat mencabar sebagaimana yang pernah dilalui apabila ditukar status kepada wang ehsan dari Pusat, dan peruntukan disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan dan tidak kepada kerajaan negeri.

Kerajaan Pas kemudiannya mengambil langkah mengemukakan saman kepada Petronas dan juga kerajaan Pusat namun tidak diteruskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas itu.

Semasa penggal akhir kerajaan BN menerajui negeri, ekoran kejatuhan teruk harga minyak di pasaran dunia, Terengganu turut kehilangan pendapatan sebanyak RM610 juta iaitu daripada RM2.21 bilion pada tahun 2015 kepada RM1.6 bilion pada tahun 2016.

Dalam Bajet 2018 yang dibentang oleh kerajaan BN mencatatkan pendapatan daripada hasil cukai adalah sebanyak RM66.42 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM203.93 juta dan terimaan bukan hasil sebanyak RM1.544 bilion. Daripada jumlah tersebut, 84.95 peratus adalah Pemberian Kerajaan Persekutuan. -UTUSAN ONLINE