Ketua Muslimat Pas Pusat, Nuridah Mohd Salleh berharap tidak terdengar ‘suara-suara sumbang’ kerana ini dilaksanakan atas prinsip meneruskan kerja amar makruf dan nahi mungkar dalam menyantuni kehidupan rakyat.

“Islam mengajar kita agar bekerjasama dalam kebajikan dan tidak bekerjasama dalam perkara maksiat. Kita diajar berlapang dada boleh berta’awun dengan sesiapa saja yang sudi bersama kita dalam perkara kebajikan dan makruf, biarpun di pihak kerajaan ataupun pembangkang.

“Jika kita setia kepada bai’ah dan wala’ kepada kepimpinan dalam perkara makruf ini, kita tidak mudah keliru dan sangsi serta hilang daya tahan,” katanya ketika menyampikan ucaptama Muktamar Tahunan Muslimat Pas Pusat di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, hari ini.

Nuridah berkata, peranan Pas sekarang adalah sebagai pembangkang yang berwibawa di peringkat pusat dengan menegur dan menasihati kerajaan serta menjadi suara semak dan imbang untuk memelihara keadilan serta survival rakyat.

Katanya, menjadi tugas Pas untuk membina kesepakatan pembangkang dalam memelihara keadilan dan kesejahteraan rakyat berlandaskan sistem demokrasi dengan patuh kepada keputusan Majlis Syura Ulama’ sebagai panduan.

“Jangan pula ada suara-suara sumbang yang terbawa-bawa dengan angkara-angkara lepas tanpa melihat tugas dan tanggungjawab dakwah kita dalam meneruskan kerja-kerja amar makruf dan nahi mungkar dalam menyantuni ‘mad’u’ (kumpulan sasar),” katanya.

Dalam masa sama, Muslimat Pas turut mengalu-alukan perubahan sikap UMNO dalam membantu kempen calon Pas di Pilihanraya Kecil (PRK) Seri Setia, Selangor pada minggu lepas bersama dengan

MIC dan IPF yang mewakili sebahagian etnik India.

“Ini dapat memperkasa suara pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Selangor, juga di atas kepentingan bersama dalam membela survival rakyat jelata,” ujarnya, -UTUSAN ONLINE