Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, ini kerana perkara itu sememangya menjadi tanggungjawab wakil rakyat termasuk yang bukan Islam.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata, pandangan sempit bahawa soal keperluan masjid dan surau hanyalah urusan wakil rakyat beragama Islam harus ditolak.

“Tanggapan sedemikian juga boleh memberi gambaran salah terhadap agama Islam terutamanya berhubung masjid yang merupakan tempat awam.

“Wakil rakyat ada tanggungjawabnya seperti dalam soal kebajikan termasuklah memberi sumbangan kepada masjid dan surau menggunakan wang peruntukan mereka.

“Jadi jangan anggap wakil rakyat bukan Islam datang ke masjid untuk berpolitik, malah kita sama sekali tidak akan menggunakan masjid sebagai pentas ceramah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bersama Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh meninjau kerosakan kubah di Masjid As-Sobirin, Bandar Lahat Baru di sini hari ini.

Bahagian kubah di masjid berkenaan mengalami kebocoran sejak sebulan lalu.

Sementara itu, Kah Woh memberitahu, pihaknya akan mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh disalurkan bagi membaiki kerosakan tersebut.

“Susulan daripada tinjauan, kita telah meminta pihak pengurusan masjid untuk menilai anggaran kos bagi membaiki kubah termasuk menggantikan permaidani pada ruang solat,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE