Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, beliau yang senada dengan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkaitan PTPTN turut menyeru agar pemimjamnya bersikap amanah untuk melangsaikan hutang masing-masing.

“Manifesto satu hal tetapi saya memperkatakan tentang sikap amanah. Tun Dr. Mahathir Mohamad pun tekankan perkara ini (hutang).

“Pembangkang semua benda nak politikkan, politik letak tepi. Kita bicara tentang akhlak moral. Kita pinjam duit, kita bayar. Tak banyak kita bayarlah. Boleh bayar RM50 sebulan kita bayarlah RM50.

“Sebab dalam ajaran Islam kalau mati syahid pun kalau berhutang tak masuk syurga,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolaj Kebangsaan Siputeh di Padang Sera Kodiang di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sikap tidak amanah peminjam menjadi punca jumlah tunggakan hutang bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjangkau sehingga RM36 bilion.

Dr. Mahathir berkata, kebanyakan daripada peminjam mempunyai pekerjaan dan memperoleh pendapatan sendiri namun masih belum mahu membayar hutang PTPTN.

Mengulas lanjut kata Maszlee, budaya amanah terutama dalam melangsaikan hutang harus dipupuk dalam kalangan masyarakat terutama dari peringkat sekolah.

“Kita akan ajar di sekolah. Budaya ini yang akan kita semarakkan dalam masyarakat kita bila berhutang kita bayar bila tak bayar kita malu.

“Masyarakat Malaysia perlu ada sikap moral bila pinjam harus bayar walaupun sedikit sedikit,” katanya. - UTUSAN ONLINE