Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berpendapat, fenomena Bossku telah berjaya menarik ramai pengundi muda kembali menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Jelas Tajuddin, usaha yang dilakukan Najib itu merupakan satu daripada faktor mengapa Ahli Parlimen Pekan itu dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

“Ada orang kata golongan muda ini tidak penting dalam politik tetapi mereka juga pengundi. Mereka berusia 21 tahun dan ke atas. Jika usul menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun diluluskan, maka, semua golongan muda ini akan menjadi kuasa politik terbaharu dalam pilihan raya akan datang.

“Mohamed Nazri dan Khairy mungkin ada pandangan masing-masing tetapi peranan yang dimainkan Najib jangan dilupakan. Tiada isu sebenarnya kerana pelantikan beliau dilakukan dalam mesyuarat BN,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mohamed Nazri dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Padang Rengas semalam, menyifatkan program ‘Bossku’ sebagai program budak-budak dan tidak boleh diterjemahkan kepada undi walaupun menerima sambutan hangat.

“Program Bossku ini bukan parti politik, ini budak-budak, untuk seronok-seronok dan tak boleh diterjemahkan kepada undi.

“Tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) yang UMNO menang bukan kerana Bossku sebagai faktor utama. Itu kerana rakyat bangkit dengan kepimpinan yang baharu,” katanya. – UTUSAN ONLINE