Katanya, apa yang menjadi fokus siasatan polis sekarang ialah soal penemuan tentang pihak mana bertanggungjawab menyebarkan video tersebut dan siasatan ke atas aspek berkenaan perlu didahulukan sebelum beralih kepada persoalan ketulenan kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri jelas menolak politik kotor, sama sebagaimana pendirian PKR.

“Kita jangan ambil kalau-kalaulah. Sekarang isu besarnya penemuan. Polis tengah buat siasatan dan kita jangan ganggu, polis sekarang jelas menemui pihak yang menyebarkan dan kita belum tahu lagi secara terperinci daripada soal siasat ke atas tangkapan-tangkapan yang dibuat.

“Buat andaian jika tulen atau tidak ini tidak membantu sama sekali kepada usaha untuk menangani politik jijik. Jika sesiapa terbukti bersalah kena ambil tindakan, ini isu asas yang kita kena ambil tetapi di saat polis mula ambil tindakan, jangan cuba lebar-lebarkan lagilah.

“Saya tak dapat dengar lagi pandangan keseluruhan Datuk Seri Anwar tetapi bagi saya masing-masing kena ada tanggungjawab moral dan kita tegas, malahan sejak dari awal saya kira PKR amat tegas tolak politik jijik,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Wacana Perbandaran Rendah Karbon Ke Arah Bandar Pintar di sini hari ini.

Terdahulu, di Parlimen hari ini, Anwar yang ditemani Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil ketika mengadakan sidang akhbarnya berkata, Mohamed Azmin perlu melepaskan jawatan dalam Kabinet jika video seks sejenis yang tersebar bulan lalu didapati sahih.

Anwar dipetik sebagai berkata:

“Pada awalnya, saya katakan Azmin tidak perlu bercuti kerana ia peluru tembakan rambang. Sekarang ini Perdana Menteri sudah beri kenyataan baru bahawa terpulang kepada Azmin sendiri.

“Sekiranya video itu sahih, maka sepatutnya dia meletakkan jawatan, tetapi kita masih tidak dapat pengesahan.

“Kalau tidak sahih, saya tidak fikir Azmin patut meletak jawatan, bergantung kepada hasil siasatan,” katanya. - UTUSAN ONLINE