Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, sebelum mereka berkuasa tindak-tanduk yang diperlihat dan suara yang diperdengarkan seakan sudah menjurus kepada usaha menghakis keistimewaan yang dinikmati selama ini.

Justeru katanya, mereka tidak terikut dengan ajakan untuk memberi peluang kepada abungan pembangkang itu kerana sukar untuk membina semula apa yang mungkin kehilangan kelak.

"Apa yang meresahkan orang Melayu sekarang apabila  gabungan pembangkang yang diketuai oleh DAP telah mencetuskan banyak perkara yang menimbulkan keresahan orang Melayu sehingga sanggup mencabar kedudukan agama Islam sendiri," ujarnya.

 Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan program Himpunan Pendekar Terengganu yang diadakan di Stadium Negeri, Gong Badak, di sini petang ini yang dihadiri lebih 2,000 orang.

Yang turut hadir ialah Yang Dipertua Pesaka Terengganu Datuk Rosol Wahid yang juga merupakan calon BN Parlimen Hulu Terengganu dan calon BN Kuala Nerus, Tengku Asmadi Tengku Mohd.

Ahmad Razif menarik perhatian para pesilat di negeri ini khususnya yang bernaung di bawah Persatuan Silat Negeri Terengganu (PesakaTerengganu)  merupakan kalangan yang mendokong warisan bangsa perlu menjadi salah satu benteng pertahanan dengan bersama UMNO serta Barisan Nasional.

"UMNO merupakan parti Melayu yang menjadi ketua kepada parti lain sedangkan  dalam pembangkang, DAP yang menjadi ketua dan semua seolah-olah kena ikut telunjuk DAP.

Sehingga ada Melayu muda dalam DAP kata kalau parti itu menang, mereka nak tarik balik kepentingan Melayu termasuk Dasar Ekonomi Baharu (DEB), agar sama rata. Jadi apakah nasib orang Melayu sekiranya pembangkang berkuasa?", soalnya lagi.-UTUSAN ONLINE