Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjelaskan, agenda penyatuan ummah antara dua parti itu bertujuan memastikan kuasa politik terus dipegang oleh orang Melayu dan Islam.

“Ada orang kata UMNO dan Pas kedua-duanya Melayu, adakah bergabung untuk Melayu saja perintah negara ini, bukan macam itu. Kita beri jaminan majoriti Melayu dalam negara ini kalau jadi pemerintah tak akan zalimi sesiapa sama ada dia Buddha, Hindu Kristian atau lain-lain.

“Ini saya nak tegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional jadi kerajaan 61 tahun, tak ada seorang pun kaum lain dihalang bina bangunan tinggi. Tak ada yang disekat berniaga dan dihalang jadi peguam, doktor dan jurutera dari kaum bukan Melayu.

“Di Kelantan, Pas memerintah 27 tahun semua orang boleh berniaga. Cuma yang kita hendak adalah dominasi kuasa politik Melayu dalam negara ini. Kaum-kaum lain boleh datang dan berkongsi kuasa, kita memerintah negara sama-sama tetapi Melayu kena pegang kuasa politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Rasah di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Rasah, Datuk Hasim Rusdi.

MAHDZIR KHALID
MAHDZIR KHALID (empat dari kiri) memukul gong sebagai simbolik perasmian Persidangan UMNO Bahagian Rasah di Dewan Besar UMNO Negeri Sembilan di Seremban hari ini. - UTUSAN ONLINE/AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, UMNO terus kukuh di peringkat akar umbi apabila tiada satu pun daripada 21,560 cawangannya di seluruh negara dibubarkan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keahlian UMNO memberitahu, kesemua cawangan tersebut telah selesai mengadakan mesyuarat masing-masing.

“Memang ada ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri kita yang keluar dari UMNO tapi bukan ketua cawangan dan ahli-ahli di peringkat cawangan.

“Sebab itu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad minta UMNO menyertai mereka, kerana kita ada 21,560 cawangan yang kekal bersama kita,” katanya.

Beliau turut meminta semua pemimpin dan ahli UMNO untuk berada di dalam satu kapal yang sama iaitu UMNO serta tidak sesekali melakukan perbuatan yang boleh merosakkan perpaduan dan kekuatan parti itu. - UTUSAN ONLINE